Kenangan SICSEF 2011

Tanggal 8-10 Julai 2011 telah berlaku dan meninggalkan kenangan yang tidak terlupakan. Perancangan SICSEF sejak sekian lama akhirnya menjadi kenyataan apabila SAMURA didatangi oleh lebih daripada 2000 orang delegasi dari Brunei Darussalam dan juga Indonesia. Delegasi dari SMAN2 Tanjung Pinang Indonesia tiba di SAMURA seawal hari Rabu 6 Julai 2011 untuk bermalam, keesokan harinya mereka berangkat ke Kuala Lumpur untuk melihat Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Delegasi dari Brunei Darussalam, Sekolah Menengah Masin tiba di SAMURA pukul 2.00 pagi 7 Julai 2011, manakala Delegasi dari SMAN1 Batam, SMAN3 Batam, SMAN1 Sumber Kapubaten Cirebon tiba pada 8 Julai 2011 jam 6.00 petang bersama-sama ketibaan SMAN2 Tanjung Pinang. Inilah pertama kali SAMURA menerima kedatangan delegasi paling ramai. Pada tahun 2009, SAMURA menerima kunjungan dari SMAN1 Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia seramai 33 orang, tetapi pada kali ini sebanyak 5 bas berada sekali gus pada petang 8 Julai 2011 yang lalu.

Selepas pendaftaran yang bermula pada pukul 2.00 petang hingga 5.00 petang 8 Julai 2011, SAMURA dijunjungi oleh 14 orang peserta dari Sekolah Menengah Masin, Brunei Darussalam, 72 orang peserta dari SMAN3 Batam, 43 orang peserta dari SMAN1 Batam, 32 orang peserta dari SMAN2 Tanjung Pinang, KEPRI, 17 orang peserta dari SMAN1 Sumber Kabupaten Cirebon dan 4 orang peserta dari Sekolah Tun Fatimah sebagai Undangan Khas rakan Sekolah Berprestasi Tinggi. SAMURA sendiri menghantar seramai 48 orang peserta dan petugas seramai 138 orang. Sekolah Jalinan yang datang ialah SM Masin, Brunei Darussalam, SMAN1 Batam, SMAN3 Batam, SMAN2 Tanjung Pinang, manakala SMAN1 Sumber Kabupaten Cirebon dan SMKN1 Batam menghantar wakil sebagai pemerhati. Pihak jawatankuasa pengelola amat berbesar hati atas kehadiran dua orang Dinas Pendidikan dari Kota Batam dan Cirebon Jawa, Indonesia.

Selepas pendaftaran, mereka diberikan dorm penginapan. Bagi pengetua, Kepala Sekolah dan Dinas Pendidikan dibawa ke Hotel D99, manakala Guru Pengiring (Guru Pendamping), dan pelajar-pelajar tinggal di asrama. Pelajar lelaki dan guru pembimbing lelaki tinggal di Aspura manakala pelajar perempuan dan guru pembimbing perempuan tinggal di Aspuri. Ada sesetengah daripada mereka memang pertama kali tinggal di asrama. Pelbagai gelagat yang dapat dilihat. Ini tentunya memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada para delegasi.

Seawal jam 7.45 malam 8 Julai 2011, semua delegasi dipersilakan Makan Malam Berhadap di Dewan Makan Sekolah Menengah Sains Muar. Makan Malam bermula selepas ketibaan YB Tuan Haji Ir Hamim bin Samuri, Ahli Perlimen Ledang. Selepas bacaan doa oleh Ketua Naquib Sekolah Menengah Sains Muar, majlis makan malam bermula. Mereka dihidangkan dengan Nasi Baryani. Walaupun masih penat selepas tiba dalam perjalanan yang lama, namun mereka tidak menyangka diraikan sebegitu rupa dalam majlis yang tidak terfikirkan. Selepas majlis makan malam, mereka kemudiannya diarak dengan paluan kompang, bungga manggar beramai-ramai ke Dewan Besar. Setibanya di dataran Sekolah Menengah Sains Muar, mereka dipersembahkan dengan silat. Dengan iringan paluan gamelan, para delegasi diberikan tepukan gemuruh sewaktu mulai masuk ke dalam Dewan Besar Sekolah Menengah Sains Muar.

Seawal majlis para delegasi dan dif dipersembahkan dengan Tarian Rampaian Tradisional sebagai mengalu-alukan kehadiran mereka. Lagu Dondang sayang, Inang Pulau Kampai, Zapin dan Joget memberikan peluang kepada mereka menikmati dan menghayati keindahan kebudayaan oleh para pelajar SAMURA. Selepas Bacaan Doa, Tuan Haji Samian bin Sawiyo selaku Pengetua Sekolah Menengah Sains Muar berucap dan mengalu-alukan kedatangan para delegasi. Kemudiannya YB Tuan Haji Ir Hamim bin Samuri, Ahli Parlimen Ledang memberikan ucapan dan seterusnya merasmikan SAMURA International Cultural, Sports and Educational Festival 2011 dengan memalu gong sebanyak 3 kali.

Para delegasi dipersembahkan dengan persembahan Nasyid oleh Kumpulan Nasyid Sohatul Akhyar, diikuti persembahan Gamelan dan diakhiri dengan persembahan angklung oleh Kumpulan Angklung Pawana Sukma. Majlis berakhir kira-kira jam 10.30 malam. Selepas majlis perasmian berlangsung, taklimat diberikan kepada para delegasi. Taklimat berkaitan dengan asrama dan juga keselamatan sepanjang festival disampaikan oleh Encik Ramli bin Hamid, manakala taklimat tentang atur cara perjalanan program disampaikan oleh Tuan Haji Zainudin bin Dirin selaku penolong setiausaha festival.

Seawal 8.00 pagi Sabtu 9 Julai 2011, semua delegasi bersedia untuk mengambil bahagian atur cara yang disediakan. Antara acara yang berlangsung pada sebelah pagi ialah SAMURA International Public Speaking, SAMURA International Pidato Antarabangsa, SAMURA International Quran Recitation, SAMURA International Zapin Serumpun Workshop. SAMURA International Basketball Tournament dan SAMURA International Reading Skills Workshop.

2 comments:

  1. assalamu'alaikum wr wb...
    i'm uswatun hasanah from SMAN 1 SUMBER, CIREBON, INDONESIA...
    PLEASE MAKE A GROUP FB OF SICSEF and upload a lots of picture about us....
    thanks before.... =]

    ReplyDelete
  2. Walaikum salam Uswatun, facebook sudah dibuat dan bolehlah mencarinya di fb.

    ReplyDelete